Zulkiflee dilantik CEO baharu PAAB

Zulkiflee
Zulkiflee
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan (MoF) melantik Ir Zulkiflee Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berkuat kuasa pada Jumaat.

PAAB dalam satu kenyataan berkata, Zulkiflee membawa banyak pengalaman dan dedikasi sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan pemangku CEO sejak 19 Mac lalu.

“Dalam tempoh tersebut, ketajaman kepimpinan beliau dan komitmen yang tidak berbelah bahagi menyumbang kepada pertumbuhan serta kecekapan operasi syarikat.

“Semasa memegang jawatan ini, beliau akan terus mengawasi tanggungjawab COO sehingga pengganti yang sesuai dilantik untuk memastikan peralihan dan kesinambungan lancar dalam strategi operasi PAAB.

“Kami percaya beliau mempunyai semangat dan keupayaan untuk memacu syarikat ini ke arah kejayaan yang lebih besar melalui kepimpinan, kebijaksanaan serta komitmen yang ditunjukkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Zulkiflee memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Awam dari University of North Carolina, Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai sejarah kerjaya yang cemerlang.

Jelas MoF, CEO baharu itu pernah berkhidmat sebagai Ketua Penyampai Projek di OPUS International (M) Sdn Bhd iaitu perunding pengurusan projek terkenal di bawah United Engineers Malaysia Berhad (UEM).

“Dengan lebih 24 tahun perkhidmatan di syarikat tersebut, beliau mempunyai kepakaran luas menguruskan pelbagai projek kejuruteraan dengan kerumitan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat selama sedekad di Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Petronas Gas Berhad (PGB) yang mempamerkan kepakaran serba boleh merentasi pelbagai sektor dalam industri.

“Pengalaman pelbagai aspek Zulkiflee dapat digabungkan dengan visi strategik dan kecekapan dalam pengurusan projek selain meletakkan beliau sebagai aset yang tidak ternilai kepada PAAB pada masa depan,” ujarnya.