JomPay Bank Rakyat di Touch 'n Go eWallet

HarianMetro Wed, Jun 21, 2023 09:33am - 11 months View Original


Kuala Lumpur: Bank Rakyat menjadi bank pertama mewujudkan spektrum baharu dalam saluran digitalnya melalui pelancaran JomPay Bank Rakyat di platform Touch 'n Go (TNG) eWallet.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, melalui pelancaran itu, pihaknya menyasarkan sejuta pelanggan akan menggunakan platform terbabit untuk membuat pembayaran bil mereka.

"JomPay Bank Rakyat sudah berada di platform TNG eWallet sejak 30 hari lalu dan sehingga kini sudah terdapat 800 transaksi dibuat membabitkan nilai RM300,000 setiap hari.

"Oleh itu, kami optimis menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 10 juta pelanggan aktif TNG akan menggunakan platform JomPay Bank Rakyat ini," katanya pada sidang media pada majlis pelancaran JomPay Bank Rakyat di platform TNG eWallet di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd, Farhan Ahmad.

Bank Rakyat menjalin kerjasama strategik dengan TNG eWallet yang membolehkan pembayaran bil dalam aplikasi melalui JomPay, dan ini adalah kerjasama bank-fintech terkini yang membentuk semula landskap pembayaran digital di Malaysia.

Mulai 19 Mei 2023, lebih daripada 20 juta pengguna TNG eWallet boleh membuat pembayaran bil kepada lebih 10,000 pengebil JomPay dalam aplikasi TNG eWallet.

Selain itu, Dr Mohammad Hanis berkata, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bank Rakyat dalam membina tawaran nilai pelanggan yang lebih baik melalui kerjasama ekosistem digital ini, pihaknya akan terus meneroka perkongsian dengan pemain industri e-dompet utama dalam pasaran untuk meningkatkan keupayaan pembayaran digital.

"Perluasan perkhidmatan JomPay Bank Rakyat di platform e-dompet ini bukan sahaja dapat mewujudkan spektrum baharu dalam saluran digital Bank melalui pembekal perkhidmatan pihak ketiga, malah turut dapat memperluas akses pada produk dan perkhidmatan bank," katanya.

Sementara itu, Alan Ni berkata, pihaknya melihat kerjasama ini penting dalam menambah rangkaian JomPay lebih 10,000 pengebil kepada rakan kongsi pembayaran bil sedia ada.

"Sebagai institusi bukan perbankan pertama yang boleh mengakses JomPay, pengguna kami kini mempunyai penyelesaian pengebilan yang komprehensif untuk membuat pembayaran dengan selamat pada satu platform, sekali gus menjadikan TNG eWallet sebagai platform yang paling mudah untuk menguruskan perbelanjaan bulanan.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Bank Rakyat dan PayNet untuk membawa penyelesaian digital inklusif yang akan memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.