Pengguna Touch 'n Go eWallet kini boleh nikmati pembayaran QR rentas sempadan di 6 negara | DagangNews Skip to main content

Pengguna Touch 'n Go eWallet kini boleh nikmati pembayaran QR rentas sempadan di 6 negara

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Touch 'n Go eWallet kini menawarkan pengalaman pembayaran rentas sempadan yang lancar di enam destinasi popular seperti China, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.

 

Touch ‘n Go berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa perkembangan tersebut membawa lebih 20 juta penggunanya kepada rangkaian luas berjuta-juta titik sentuh pedagang, didayakan menerusi penyepaduannya dengan pembayaran QR rentas sempadan negara dan perkongsiannya dengan Alipay+ Ant Group.

 

Menurut syarikat itu, pengguna akan dapat berurus niaga dengan mudah dalam mata wang tempatan negara masing-masing dengan kadar pertukaran asing masa nyata dipaparkan dalam eWallet sebelum membuat pembayaran.

 

“Sebagai contoh, Touch 'n Go eWallet kini diterima di seluruh rangkaian QRIS Indonesia, membolehkan penggunanya membayar dengan lancar dengan kadar pertukaran yang kompetitif di lebih daripada 25 juta titik sentuh pedagang,” katanya.

 

Menurut syarikat itu, Touch 'n Go eWallet telah disepadukan dengan Alipay+ sejak 2022, membolehkan pembayaran rentas sempadan untuk penggunanya menerusi rangkaian pedagang Alipay+ di China, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.

 

Jelasnya, perkhidmatan Alipay+ ini telah dikembangkan sejak itu ke lebih banyak negara, terbaharu di Thailand.

 

Touch ‘n Go juga berkata ia kini dalam perancangan untuk menambah lagi rangkaian di negara lain, termasuk Filipina, Australia dan banyak lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, “Teknologi telah memberi kami peluang untuk menangani masalah yang dialami pengguna semasa dalam perjalanan, terutamanya semasa membawa wang kertas.

 

"Saya pasti pengguna kami akan menghargai kemudahan dan ketenangan fikiran apabila berurus niaga dengan eWallet kami semasa perjalanan mereka.” - DagangNews.com