comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Ketengah isu masalah sosial dalam filem pendek

Oleh Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Seni filem menjadi antara saluran untuk meluahkan perasaan, mengemukakan pemikiran, menyampaikan pandangan dunia serta menyebarkan idea kreatif para pengkarya kepada orang ramai.

Menyedari kepentingan filem sebagai medium penyebaran isu sosial yang berlaku di dalam dan luar negara, pengkarya muda mula berlumba-lumba menyumbang bakat dan ilmu dalam mengekspretasikan kehendak masyarakat melalui pembikinan filem dan dokumentari pendek.

Jadi tidak hairanlah, Festival Filem Taylor’s University (TUFF) 2023, yang berlangsung baru-baru ini mendapat penyertaan 85 filem dan dokumentari sumbangan pengkarya muda dari 13 negara.

Prema Ponnudurai, Ketua Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Taylor’s University.

Ketua Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Taylor’s University​​​​​​​, Prema Ponnudurai berkata, festival yang dilaksanakan institusi berkenaan bertujuan menyedia platform pelajar dan pembikin filem baharu mengekprestasi daya kreatif mereka melalui kesenian pembikinan filem.

“Melalui program yang dilaksanakan sejak 2019, kami dapati, graduan-graduan kami lebih mendapat pekerjaan sebelum habis pembelajaran kerana melalui program sebegini ia sekaligus dapat memberi pendedahan kepada pelajar untuk lebih dekat dengan industri.

“Malah festival selama seminggu itu juga turut mengadakan beberapa tayangan filem dan bengkel kerjasama dengan rakan kongsi industri yang terlibat secara khusus dalam penyebaran mengenai perkembangan peralatan digital yang digunakan dalam sesebuah produksi filem,” katanya.

Antara pengkarya yang terbabit dalam festival berkenaan termasuklah pengkarya muda dan pelajar dari Indonesia, Taiwan, Jepun, China, India, New Zealand, Australia, Perancis, Maghribi, Brazil, Belgium dan Amerika Syarikat.

Sempena festival berkenaan juga sebanyak 24 karya filem pendek dan dokumentari diberi pengiktirafan membabitkan 12 kategori dalam negera manakala 12 lagi untuk penyertaan luar negara.

Anugerah Filem Pendek dimenangi Ling Ken dari produksi ‘Echoes of Sand’, manakala Anugerah Dokumentari dan Pengarah terbaik dirangkul Khesshen Mahendran melalui dokumentari bertajuk ‘9 Gods The Unknown Connection’, serta pelakon terbaik dimenangi pelakon cilik Lee Boo Ying melalui Filem ‘Highway’.

Khesshen Mahendran, Pemenang Anugerah Pengarah dan Dokumentari terbaik.

Penerima Anugerah Pengarah dan Dokumentari terbaik, Khesshen Mahendran berkata, usaha itu memberi peluang kepada pelajar dan generasi muda untuk menonjolkan karya mereka kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

“Melalui pengiktirafan dan festival sebegini, ia sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada kami orang muda untuk menghasilkan karya-karya yang menarik.

“Malah, kami juga dapat mempelajari selok belok pembikinan filem dengan cara lebih betul melalui bimbingan yang diberikan tenaga pengajar dan pemain industri yang turut terlibat secara khusus dalam memberi idea dan maklumat kepada kami,”katanya.

Loading...
Terkini