SUBANG JAYA: Taylor’s University melancarkan Projek BacaBaca bersama Yayasan Mah Sing sebagai usaha menangani jurang kemiskinan pembelajaran dalam kalangan pelajar komuniti B40.

Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Akademik, Prof Dr Pradeep Nair berkata, kanak-kanak yang tidak membaca di peringkat gred akan mengalami kesusahan untuk mempelajari mata pelajaran lain. Ini seterusnya menyebabkan peningkatan dalam kadar keciciran sekolah, kemiskinan, masalah kesamarataan pendapatan dan mobiliti sosial.

Jurulatih membaca akan mengadakan sesi membaca dengan kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun selama 30 minit, dua kali seminggu, dengan kaedah secara maya atau melalui telefon.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pendidikan Taylor’s University, Hema Letchamanan berkata, program itu dilaksanakan jurulatih membaca yang dilatih oleh Pusat Pengajian Pendidikan di universiti tersebut untuk memastikan sasaran keperluan membaca dilengkapi kemahiran membaca di peringkat gred.

Jelasnya, selain keupayaan kemahiran membaca, inisiatif itu sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi dengan lebih fasih untuk mengekspresi diri pelajar

"Dalam Bahasa Melayu, kita dapat melihat peningkatan sebanyak 64 peratus, manakala terdapat peningkatan sebanyak 86 peratus untuk Bahasa Inggeris.

"Keputusan ini sangat memberangsangkan kerana selepas enam bulan, pelajar-pelajar tersebut yang pada mulanya tidak boleh membaca dan hanya pandai beberapa suku kata, namun kini mereka boleh membaca di tahap kedua dan ketiga,“ katanya kepada Astro AWANI selepas Majlis Pelancaran Projek BacaBaca di Taylor’s University, Subang Jaya pada Sabtu.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan Mah Sing, Datuk Indera Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman dan Timbalan Naib Canselor dan Prof Dr Pradeep Nair.

Kanak-kanak daripada komuniti B40 yang menikmati beberapa buku yang disumbangkan pada Pelancaran Projek BacaBaca Taylor’s pada Sabtu.

Pada masa sama, Hema berharap menerusi program tersebut, pihaknya akan dapat membantu lebih ramai komuniti dan bekerjasama dengan pelbagai organisasi, termasuk Kementerian Pendidikan, dalam mencapai matlamat pendidikan menerusi program yang berlangsung dalam dua fasa ini.

"Kita berharap untuk memperluaskannya di seluruh negara bagi membantu lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan sekali gus memberikan bimbingan untuk terus cemerlang dalam bidang akademik serta pembangunan kemahiran hidup.

"Jadi kemungkinan kita akan mewujudkannya di Sarawak, Pantai Timur dan Utara kerana (isu) geografik bukanlah satu penghalang untuk Program BacaBaca ini dilaksanakan. Ini juga termasuklah dengan (isu) perkhidmatan jaringan jalur lebar (internet). 

“Pelajar hanya memerlukan satu telefon. Tidak mempunyai kredit bukanlah satu isu namun pastikan ia boleh berfungsi kerana sukarelawan-sukarelawan yang akan menghubungi pelajar,“ katanya.

Raiqal Faiz, 9, dari PPR Seri Alam, membaca buku di hadapan penonton secara langsung di atas pentas pada Majlis Pelancaran Projek BacaBaca.

Fasa satu melibatkan 30 kanak-kanak di PPR Seri Alam Cheras selama enam bulan manakala fasa dua melibatkan 100 kanak-kanak di PPR Seri Alam, New Village Sungai Way, sekolah-sekolah Petaling Jaya, Klang, Banting dan Kota Belud, Sabah.   

Selain tajaan Yayasan Mah Sing, bahan bacaan untuk Projek BacaBaca telah disediakan oleh Twinkl Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia, dengan sokongan jurulatih membaca daripada ahli-ahli komuniti yang berniat untuk memperbaiki mutu pembelajaran kanak-kanak.

Selain itu, mereka yang berminat untuk menjadi jurulatih membaca bagi program ini boleh menghubungi pihak Taylor’s di alamat e-mel tertera di [email protected]

Taylor’s University | Lancar Projek BacaBaca, sasar bantu B40

 
*Artikel ini adalah kandungan berbayar